Aku Cinta Padamu...

Posted by Tragedi Mac on Friday, April 2, 2010 | 1 comments

Assalamu'alaikum wbt.

"Satu hari, Ezika bertemu Amira di taman. Ezika meluahkan rasa cintanya kepada Amira yang dikenalinya sejak di bangku sekolah. Amira hanya mendiamkan diri. Ezika merasakan dia mempunyai peluang yang cerah untuk bersama Amira. Itulah harapan Ezika untuk bersama dengan orang yang dicintai. Diam Amira menandakan persetujuan. Ezika akhirnya hidup bersama dengan Amira. Namun, cinta yang disulam kasih ini tidak berkekalan. Ezika mulai membenci Amira. Nadia muncul dalam hidup mereka. Perasaan benci Ezika membuatkan dia mula menjauhi Amira. Pada mulanya, Ezika hanya tidur di ruang tamu. Tetapi, akhirnya Ezika meninggalkan Amira dengan lafaz talak. Benci Ezika membuatkan dia enggan bersama Amira."

Drama. Namun, jangan disangka drama sekadar drama. Drama kini banyak diterjemahkan ke dalam kehidupan realiti. Inilah penangan media. Melalaikan remaja hingga melupakan nilai-nilai Islam. Entri pada kali ini lebih bertumpu kepada cinta sesama manusia. Cinta sesama manusia tiada salahnya, andai kasih yang terjalin bertepatan dengan ikatan Allah. Harus diingati, cinta ini hanya suci apabila cinta kepada Allah terlebih dahulu diutamakan.


Ikhlas

Cinta manusia memang tiada salahnya. Sememangnya Allah SWT menjadikan perasaan cinta sebagai fitrah dalam diri manusia. Namun, seperti akal, cinta perlu ditunjukkan jalannya. Cinta berdasarkan iman atau cinta berdasar nafsu.

Mengkaji drama di atas, cinta Ezika dan Amira bukanlah cinta yang tulus, kerana cinta Ezika tidak lain hanya kerana cinta kepada seorang wanita. Bahkan, perlakuan keduanya bertemu di taman sudah menjadi haram. Cinta kepada wanita semata tiada nilainya, kerana apabila timbul cacatnya wanita itu, cinta semakin pudar. Begitu juga halnya jika muncul wanita lain yang lebih 'sempurna' kewanitaannya.

Adapun, cinta yang hakiki ialah cinta yang benihnya iman. Diakari dengan kasih kepada Allah dan RasulNya. Dikukuh dengan dahan restu ibu dan ayah. Lantas, cinta antara bunga menjadi suci. Melahirkan pucuk yang segar dengan kehijauan taqwa. Bahagia sungguh.


Cinta Hakiki

Cinta yang hakiki sememangnya cinta Allah. Namun, cinta tidak berhenti setakat itu. Cinta diteruskan kepada manusia juga. Ungkapan cinta mungkin sahaja digambarkan cinta pria dan wanita. Itulah racun media yang bejaya menyelinap masuk minda remaja kita.

Cinta sebenarnya luas. Cinta Rasul. Cinta Ibu. Cinta Ayah. Cinta saudara. Cinta Guru. Cinta sahabat. Jangan lupa, cinta diri kita. Ingatlah pesan ini, cinta untuk berkeluarga tidak akan berjaya hingga sempurna 2 cinta selepas Allah; cinta Rasul dan Ibu Bapa. Persoalannya, sudahkah kita cintai mereka? Jika ya, anda sudah bersedia untuk mencintai orang lain samada wanita mahupun pria. Jika tidak, siapkan diri dahulu.


Konklusi

Cinta manusia sememangnya ingin diakhiri dengan bersama yang dicintai. Hal ini tidak dinafikan. Malah cinta Ezika yang salah tadipun membuktikan dia ingin bersama Amira atas dasar cinta.

Hadis dari Anas bin Malik riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih beliau berkata, ada seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah SAW. Dia berkata, "Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mencintai orang lain, tapi dia tidak mampu beramal seperti amalnya."
Maka Rasulullah SAW bersabda,
"الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ "
"Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya."

Anas berkata, "Aku belum pernah melihat para sahabat lebih bergembira dengan sesuatu---kecuali dengan Islam--- seperti gembiranya mereka dengan perkataan Rasulullah SAW ini." Anas berkata, "Maka kami mencintai Rasulullah, meski tidak mampu beramal seperti amalnya. Tapi, jika kami bersamanya, maka itu telah cukup bagi kami."

Oleh itu, cinta yang kita pupuk pasti ingin diakhiri dengan bersama yang dicintai. Maka, buatlah pilihan sebijaknya. Andai yang beriman pilihan kita untuk mencintai, insya-Allah hidup akan berkekalan bersama hingga ke syurga. Begitu juga sebaliknya.

Wallahu a'lam.