Cinta = Patuh + Setia

Posted by Tragedi Mac on Friday, March 26, 2010 | 3 comments

Assalamu'alaikum wbt. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT atas kurniaanNya yang tidak terhingga dari sekecil-kecil nikmat udara sehinggalah sebesar-besar nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW khatimul anbiya' kerana pengorbanan Nabi SAW dalam menyampaikan risalah Islam, kita hari ini bergelar, muslim dan mu'min.

Sahabat yang dimuliakan sekalian, Cinta kepada Allah bukan sekadar kata-kata. Cinta kepada al-Khaliq berbeza dengan cinta antara manusia. Cinta kepada Allah adalah satu kepastian nikmatnya. Cinta manusia, ada yang gembira ada yang luka. Penuh dengan ragu-ragu. Pilihlah yang pasti kebahagiannya. Walaubagaimanapun, andalah yang membuat pilihan itu.

Pembaca yang dikasihi Allah SWT, nikmat yang dikurniakan Allah tidak terkira banyaknya. Firman Allah, "Maka nikmat tuhanmu yang manakah kamu dustakan?". Sungguh kaya dan pemurahnya Allah tanpa mengira agama, ras mahupun kawasan. Semuanya dikurniakan nikmat dengan melimpah ruah. Atas dasar ini, kita seharusnya mencintai Allah SWT. Bahkan, tanpa Allah SWT, kita tidak mungkin mengenal dunia ini. Dialah al-Khaliq yang memberi nyawa kepada manusia. Tidak cukupkah alasan ini untuk kita mencintai Allah???

Cinta kepada Allah tidak sempurna dengan hanya berkata "Aku cinta pada Allah dan RasulNya". Cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW perlu dimanesfitasikan dalam amalan seharian kita. Berkata al-Azhari, "Erti Cinta seorang hamba kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati dan mengikut perintah Allah dan RasulNya." Perintah Allah ini terkandung dalamnya, perkara-perkara wajib dan haram, perkara-perkara disuruh dan ditegah.

Wahai manusia, kita hamba Allah. Allah pencipta kita. Ingatlah, cinta kita kepada Allah bukan cinta tidak berbalas. Cinta kita kepada Allah, ialah cinta yang pasti. Cinta yang penuh dengan bunga-bunga kebahagiaan. Harum redhaNya semerbak menghiasi taman jiwa. Bunga ampunanNya mekar menerima taubat sang hamba. Setiap yang mengunjungi bungaNya dikurnia madu pahala. Sungguh indah cinta ini. Inilah balasan cinta hamba kepada Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT:

"Nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu."
[Ali 'Imran, 3 : 31]


Berkata lagi al-Azhari, "Cinta Allah kepada hambaNya adalah memberikan kenikmatan kepadanya dengan mengurniakan keampunan." Oleh itu, sambutlah cinta ini. Andai selangkah kita kepada Allah, seribu langkah Allah datang kepada kita. Ingat, cinta hanya lahir apabila patuh dan setia diadun bersama menjadi adunan kasih sayang yang utuh.

Wallahu a'lam.