al-Quran Dusturuna.

Posted by Tragedi Mac on Wednesday, March 24, 2010 | 2 comments

Assalamu'alaikum wbt. Sahabat sekalian, al-Quran yang mulia adalah firman Allah SWT. Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah, Muhammad SAW, melalui wahyu yang dibawa oleh Jibril as, baik lafaz mahupun maknanya; membacanya merupakan ibadah, sekaligus merupakan mukjizat yang sampai kepada kita secara mutawatir. Allah SWT berfirman:

"Tidak datang padanya kebatilan dari sebelum dan sesudahnya, diturunkan daru Zat yang Maha Bijak dan Terpuji..." [Fushilat, 41 : 42]

Al-Quran adalah kitab yang dijaga dengan penjagaan Allah sendiri. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya, Kami telah menurunkan al-Quran dan Kami pasti akan menjaganya."
[al-Hijr, 15 : 9]


Al-Quran adalah kitab yang mampu menghidupkan jiwa dan mententeramkan hati. Dengan izin Allah, al-Quran mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya; iaitu jalan Zat yang Maha Perkasa lagi Terpuji. Siapa saja yang berkata dengan menggunakan al-Quran, pasti akan terpercaya. Siapa saja yang mengamalkannya, pasti akan beruntung. Siapa saja yang memutuskan hukum dengannya, pasti akan adil. Dan siapa saja yang mendakwahkannya, pasti akan mendapat hidayah ke jalan yang lurus.

Al-Quran adalah sebaik-baik bekal bagi setiap muslim. Lebih-lebih lagi bagi para pengemban dakwah. Dengan al-Quran, hati akan menjadi hidup. Dengannya, semua sandaran akan menjadi kukuh. Para pengembannya akan menjadi seperti gunung yang berdiri kukuh sehingga duniapun menjadi kecil baginya ketika berada di jalan Allah. Dia akan sentiasa mengatakan yang hak, dan tidak takut terhadap celaan orang-orang yang mencela, semata-mata kerana Allah.

Dengan al-Quran, sesuatu yang mudah terumbang-ambing oleh angin lantaran ringannya, akan menjadi lebih berat di sisi Allah, seperti beratnya gunung Uhud kerana dia sentiasa membaca al-Quran; dia membasahi lisannya dengan al-Quran dan jari jemarinya pun menjadi saksi. Seperti itulah para sahabta Nabi SAW mengharungi kehidupan dunia ini, seolah-olah mereka seperti al-Quran yang berjalan. Mereka sentiasa menelaah ayat-ayatnya, membacanya dengan sungguh-sungguh, mengamalkan isinya dan mendakwahkannya.

Jiwa mereka pun tergetar oleh ayat-ayat azab dan hati mereka pun menjadi senang kerana ayat-ayat rahmat. Air mata mereka bercucuran kerana tunduk terhadap kemukjizatan dan keagungannya, serta patuh terhadap hukum-hukum dan hikmahnya. Mereka menerima al-Quran langsung dari Rasulullah SAW sehingga ayat-ayatnyapun menyucuk dalam lubuk hati mereka yang paling dalam. Kerana itu, mereka menjadi manusia-manuisa mulia dan menjadi para pemimpin; orang-orang yang bahagia dan beruntung.

Ketika mereka ditinggal oleh Rasulullah SAW menuju tempat yang paling tinggi di syurga 'illiyyin, mereka tetap istiqamah memelihara al-Quran, sebagaimana wasiat Rasulullah SAW. Maka para penghafaz al-Quran tadi sentiasa berada di barisan paling hadapan ketika melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar. Para pendakwah al-Quran juga sentiasa berada terhadapan dalam segala kebaikan dan paling hadapan dalam menghadapi rintangan di jalan Allah SWT.

Sesuatu yang paling berharga bagi kaum muslim umumnya, dan para pendakwah al-Quran khususnya, adalah bahawa hendaknya al-Quran sentiasa menjadi penyiram hati mereka dan teman setia yang mengiringi setiap langkah mereka. Kerana al-Quran akan membimbing mereka untuk meraih semua kebaikan dan mengangkat kedudukan mereka lebih tinggi dan lebih tinggi lagi. Mereka harus sentiasa memeliharanya di tengah malam dan di penghujung siang, dengan membaca, menghafaz dan mengamalkannya, sehingga mereka menjadi sebaik-baik generasi khalaf, mewarisi generasi salaf yang terbaik.

Wallahu a'lam.

Dipetik daripada,
Min Muqawwimat an-Nafsiyyah al-Islamiyyah